Monday 3 March 2014


Selepas mengharungi empat perlawanan terakhir liga premier dan satu perlawanan piala FA tanpa sebarang jaringan, akhirnya Luis Suarez telah menamatkan bulan tanpa gol oleh dirinya pada perlawanan malam tadi. Satu gol pendahuluan Suarez ini adalah gol penaik semangat pasukan Liverpool untuk mengatasi Southampton di St. Mary's dengan keputusan 0-3. Kali terakhir Suarez menjaringkan gol adalah pada 29 Januari lalu ketika membantu Liverpool membenam cabaran Everton di Anfield dengan 4-0.

Liverpool mengambil masa 15 minit selepas wisel perlawanan dimulakan untuk mendahului Southampton. Gerakkan satu dua antara Suarez dan Sturridge serta dibantu kesilapan yang telah dilakukan oleh pertahanan Southampton menjadikan tugas Suarez lebih mudah untuk membuat sepakan leret menewaskan penjaga gol Southampton. Gerakkan ini adalah terhasil dari serangan kilat setelah kubu Liverpool diasak sejak awal permainan lagi.
Tersentak dengan gol tersebut, pemain-pemain Southampton terus melipat gandakan asakan ke kawasan Liverpool. Lallana hampir menyamakan kedudukan apabila berjaya membuat percubaan kearah gawang gol Liverpool, tetapi malangnya bola tersebut terkena tiang dan melantun kembali keluar dikala Mignolet sudah pun tersalah langkah. Disebalik serangan-serangan Southampton ini, sekali sekala Liverpool cuba mencuri-curi buat serangan hendap. Walau bagaimanapun tamat separuh masa pertama, keputusan masih kekal 0-1.

Separuh masa kedua,  pemain-pemain Southampton masih bernafsu untuk mengasak kubu Liverpool seperti yang dilakukan sebelum ini. Melihatkan kurang keberkesanan Coutinho pada perlawanan ini, Brendan Rodgers segera mengeluarkannya untuk digantikan oleh Sterling. Apa yang menariknya tidak sampai satu minit Sterling masuk, beliau telah berjaya menjaringkan gol kedua untuk Liverpool. Hasil gerakkan menarik yang ditunjukkan oleh Suarez telah menyilang bola ke hadapan gawang untuk disempurnakan oleh Sterling dengan baik sekali.
Sewaktu keputusan 0-2 ini dilihat bakal kekal hingga ke wisel penamat, Suarez sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila beliau telah mendapatkan penalti untuk pasukan Liverpool. Akibat kelincahan Suarez melepasi kawalan, Fonte mengambil keputusan untuk menyekat beliau betul-betul didalam kotak penalti. Seperti biasa pakar sepakan penalti merangkap kapten Liverpool, Steven Gerrard berjaya menyudahkan sepakan penalti tersebut untuk menambahkan derita pasukan Southampton dengan keputusan 0-3 hingga tamat perlawanan.

Pada perlawanan ini, walaupun Liverpool berjaya mempertahankan gawangnya dari dibocori, tetapi masih lagi terserlah kelemahan dan kelonggaran dalam mengawasi pergerakkan penyerang lawan. Sememangnya diakui Liverpool lebih banyak menggunakan sistem permainan bertahan dan menyerang balas ketika peluang tiba. Walaupun pada satu-satu masa ada 5 hingga 6 pemain Liverpool berkampung dikawasan pertahanan sendiri, nampak masih mudah untuk penyerang-penyerang Southampton meloloskan diri untuk membuat hantaran serta percubaaan yang merbahaya. Brendan Rodgers perlu menitik beratkan pertahanan untuk lebih kukuh dimasa akan datang. Jika perlu gunakan konsep kuih lapis pun tak mengapa. Yang penting dapat melumpuhkan serangan pihak lawan.
Dengan kemenangan ini, Liverpool telah memintas pasukan Arsenal untuk melonjak ke tangga kedua liga dibawah pasukan Chelsea. Arsenal yang tewas mengejut ke atas Stoke City, terpaksa akur untuk menduduki tangga ke-3. Perlu diingat kedudukn Liverpool ketika ini bukanlah kedudukan yang selamat. Ini kerana pasukan Manchester City masih berhutang dua perlawanan liga. Jadi seandainya Liverpool mampu untuk meneruskan kecemerlangan ini hingga ke akhir musim, pasti para penyokong mampu untuk senyum hingga ke telinga. YNWA.

SOUTHAMPTON : Boruc, Chambers, Fonte, Lovren, Shaw, Cork (Wanyama), Schneiderlin, Davis (Ramírez), Lallana, Rodriguez, Lambert (Gallagher)
SUBS : Gazzaniga, Clyne, Yoshida, Ramírez, Wanyama, Ward-Prowse, Gallagher

LIVERPOOL : Mignolet, Johnson, Agger, Skrtel, Flanagan, Gerrard, Allen, Henderson, Coutinho (Sterling), Sturridge (Aspas), Suarez
SUBS : Jones, Toure, Cissokho, Moses, Aspas, Sterling, Teixeira


0 comments:

Post a Comment