Thursday 27 June 2013

Adakah Nasi Menggemukkan?

Nasi merupakan makanan ruji masyarakat Malaysia. Ianya adalah sejenis bijirin, yang kaya dengan karbohidrat dan merupakan satu daripada tiga nutrien yang membekalkan kalori bagi tenaga untuk badan. Kandungan lemak dalam nasi adalah sangat rendah, iaitu pada kadar 1% atau kurang, namun kandungan karbohidratnya adalah sangat tinggi. Oleh itu, pengambilan nasi yang berlebihan dan tidak terkawal boleh menjadikan nasi satu makanan yang menggemukkan. Walaupun begitu, perlu diketahui bahawa mana-mana makanan, termasuk nasi, boleh menggemukkan sekiranya diambil dalam kuantiti yang tidak dikawal. 


Sekiranya anda merancang untuk menurunkan berat badan, makanlah nasi perang (brown rice) kerana ia mempunyai kandungan serat yang banyak berbanding nasi putih. Selain dapat mengurangkan pengambilan kalori dalam badan, beras perang juga bagus untuk proses pencernaan.


Dari segi kesihatan, nasi memang boleh dimakan tetapi mesti pada saiz hidangan yang berpatutan. Hidangan sebanyak 45 g nasi putih, iaitu sebesar satu genggaman tangan anda, sudah mengandungi sebanyak 160 kalori. Walaupun ianya sejenis bijirin, namun kandungan seratnya yang rendah menjadikan nasi putih mudah untuk dicerna dan seterusnya kandungan kalori juga mudah diserap oleh badan.


Kebanyakan kedai makan menghidangkan nasi melebihi daripada saiz yang berpatutan. Oleh itu, mintalah 'nasi separuh' agar anda dapat mengekalkan pengambilan lebih kurang 160 kalori. Sebaliknya lebihkan saiz hidangan sayur dan buah kerana ia mengandungi kalori yang jauh lebih rendah daripada nasi. 

Sumber: kevinzahri.com

0 comments:

Post a Comment